[VIDEO] 'ALLAH jemput cucu dulu sebelum saya'
REMBAU - “Semua orang akan pergi, kita tak tahu bila. Tapi ALLAH dah jemput dia dulu.”
Demikian luah Rohani Husien, 66, nenek kepada Afkar Fitri Afendi, 19, salah seorang mangsa yang terkorban dalam kemalangan membabitkan 15 motosikal di Kilometer 262.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Seremban, kira-kira jam 2.30 pagi, Khamis.
Menurut Rohani, beliau sangat rapat dengan Allahyarham yang sering menghubunginya melalui panggilan video.

“Dua hari lepas saya ada buat panggilan video dengan dia dan berpesan supaya menunggang motosikal dengan berhati-hati.
“Saya kata motosikal itu untuk ke kolej, kalau nak keluar makan bolehlah,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau di sini pada Khamis.
Rohani turut menyifatkan Afkar sebagai cucu yang baik, sopan dan sentiasa patuh kepada arahan keluarga.
“Dia memang budak yang baik. Apa saja yang saya, suami dan ibu bapanya suruh buat, dia tak pernah membantah.
“Malah, dia sangat prihatin. Kalau keluar bersama, dia tak lupa pimpin tangan saya,” katanya dalam nada sebak.

Menurutnya, beliau mengetahui mengenai kemalangan yang menimpa cucunya sekitar jam 6.30 pagi dan reda dengan ketentuan Ilahi.
Selain Afkar, dua lagi mangsa yang maut dalam kejadian tersebut ialah Aliff Syahmi Abdul Hakim, 18, dari Gombak, dan Azib Sulaiman, 20, dari Sepang, Selangor.
Difahamkan, kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang selepas makan malam bersama kumpulan konvoi motosikal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian membabitkan 15 motosikal yang ditunggang secara berkumpulan dari arah Senawang menuju ke Kuala Lumpur.
“Siasatan mendapati kumpulan motosikal itu bergerak di lorong tengah dan kanan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiga buah motosikal di hadapan telah bergesel dan berlanggar sesama sendiri sebelum terjatuh ke atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Akibatnya, katanya, 12 motosikal lain yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal yang telah terjatuh itu.
“Semua penunggang terbabit turut terjatuh ke atas jalan. Dalam masa sama, sebuah kereta dan lori turut dilanggar oleh beberapa motosikal yang gagal dikawal, mengenai bahagian belakang dan sisi kenderaan,” katanya.
Menurut beliau, tiga penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, iaitu dua penunggang motosikal Yamaha NVX dan seorang lagi penunggang motosikal jenis tidak dikenal pasti.
Seramai 12 lagi penunggang yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut, termasuk dua mangsa yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Semua jenazah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Mohamad Hatta turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

