6 asnaf di Pulau Pinang terima manfaat Program Sinar Lestari YAPEIM

KEPALA BATAS - Seramai enam asnaf di negeri ini menerima manfaat dalam Program Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) yang melibatkan sembilan projek bina baharu dan baik pulih rumah dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM460,000.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, daripada jumlah itu, lima projek melibatkan bina rumah baharu manakala empat lagi adalah baik pulih kediaman yang memberi impak besar kepada kesejahteraan penerima.
Menurutnya, selain bantuan perumahan, YAPEIM turut mempertimbangkan pemberian geran keusahawanan sehingga RM5,000 dalam bentuk sokongan perniagaan kepada penerima layak.
"Inisiatif ini diharap dapat menceriakan kehidupan golongan sasar menerusi penyediaan tempat tinggal yang lebih selesa hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Amanah YAPEIM.
“Program Sinar Lestari yang dilancar sejak 2020 memberi impak besar kepada golongan sasar. Sehingga Mei 2025, sebanyak RM13.5 juta telah diperuntukkan untuk 293 projek bina baharu dan baik pulih rumah di seluruh negara,” katanya ketika ditemui di Program Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di Penaga di sini pada Rabu.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, 225 projek telah disiapkan manakala 68 lagi masih dalam pembinaan.
Untuk rekod, sejak ditubuhkan pada 1985 hingga Jun 2025, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM719 juta kepada 9.9 juta penerima manfaat seluruh negara melibatkan tiga teras utama iaitu pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan kemasyarakatan.
Sementara itu, tiga penerima menerima bantuan bina rumah baharu bernilai RM80,000 setiap satu ialah Mohd Affindi Md Rashid dari Bukit Mertajam, Rusnizam Md Yusof dari Jalan Permatang Keriang, Penaga dan Tahir Suhid dari Jalan Pasir Gebu, Penaga.
Tiga lagi menerima bantuan baik pulih rumah iaitu Noridlia Natasha Idris dari Kampung Makau Suah, Sungai Bakap (RM20,000), Mohd Latif Ahmad dari Kampung Tasek Chempedak (RM30,000) dan Mahadi Roml dari Permatang Janggus (RM30,000).
Majlis penyerahan rumah baharu itu disempurnakan oleh Mohd Na’im di kediaman Tahir di Penaga yang turut dihadiri Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan.
Dalam pada itu, Tahir, 55 berkata, dia amat bersyukur dan gembira kerana dikurniakan rezeki sebuah rumah sendiri selepas menyewa lebih 15 tahun dengan kadar sewa RM260 sebulan.
Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, tanah berkenaan dibelinya sejak 20 tahun lalu ketika dia masih berkhidmat sebagai tentera.
"Sebelum ini saya menyewa berdekatan dengan kawasan ini namun kini saya sudah mempunyai rumah sendiri. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu terutamanya kepada YAPEIM kerana merealisasikan impian saya untuk mempunyai rumah sendiri.
"Insya-ALLAH saya akan tinggal di rumah ini dalam tahun ini juga. Ini semua rezeki isteri, Norlia Aziz, 45, dan lima anak saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

