Anwar gesa pemimpin dunia bantu hentikan pembunuhan di Gaza

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pemimpin dunia agar segera menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin di Gaza, sambil menyifatkan tragedi yang sedang berlaku sebagai ujian terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
Beliau berkata, pembunuhan kejam terhadap keluarga Palestin termasuk kanak-kanak dan bayi yang mati kelaparan akibat kekurangan makanan dan bantuan kemanusiaan merupakan pelanggaran terhadap nilai moral paling asas.
“Tragedi yang sedang berlaku di Gaza adalah satu ujian kepada peri kemanusiaan kita. Seluruh keluarga dibunuh, anak-anak termasuk bayi dibunuh. Ada yang mati kelaparan. Penghinaan terhadap nilai kehidupan dan maruah manusia ini mesti dihentikan segera,” katanya ketika berucap menerusi video pada Selasa.
Justeru, Anwar menggesa semua negara yang menghormati undang-undang antarabangsa serta menjunjung tinggi nilai kemanusiaan untuk bersatu menyuarakan pendirian tegas menentang jenayah tersebut.
“Setiap kerajaan yang mempercayai undang-undang antarabangsa, setiap negara yang menghargai nilai kehidupan manusia, mesti bersuara dalam satu nada,” ujarnya.
Dalam nada tegas, Perdana Menteri turut menyeru semua pihak yang mempunyai pengaruh ke atas Israel supaya bertindak segera menghentikan serangan dan memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan.
“Saya khususnya menyeru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump agar menggunakan pengaruh beliau untuk mendesak penghentian segera pembunuhan ini, menghentikan pengeboman sewenang-wenangnya serta memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mangsa tanpa sekatan,” katanya.
Anwar menegaskan, saat ini adalah masa untuk kepimpinan moral tampil ke hadapan dan membuktikan komitmen terhadap nilai-nilai yang selama ini dilaungkan oleh masyarakat antarabangsa.
“Ini adalah masa untuk kepimpinan berteraskan moral. Ini adalah waktu untuk menjunjung nilai yang kita dakwa kita pertahankan,” katanya lagi.
Menurut beliau, Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua negara dari Utara ke Selatan, Timur dan Barat bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan serta mengembalikan prinsip asas kemanusiaan.
“Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua negara bagi meringankan penderitaan di Gaza dan mengembalikan prinsip asas kemanusiaan. Janganlah kita dikenang sebagai mereka yang hanya berdiam diri.
"Biarlah suara hati nurani memandu kita untuk menjawab penderitaan dengan belas kasihan serta berusaha membawa damai demi kemanusiaan,” tegas Anwar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

