Lelaki maut dibunuh rakan sebilik

SUNGAI PETANI - Pargaduhan dua rakan sebilik berakhir tragedi salah seorang daripadanya akibat maut dibunuh dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, panggilan diterima pada jam 11.40 malam dari orang awam memaklumkan menemui mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, berlaku pertengkaran antara mangsa lelaki dipercayai warga Myanmar berusia 30-an dengan rakan senegara yang tinggal sebilik berusia 50-an sebelum kejadian.
"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut dan leher disyaki akibat dibunuh menggunakan senjata tajam.
"Bagaimanapun, rakan sebilik telah melarikan diri ke dalam belukar berhampiran," katanya.
Beliau berkata, setakat ini, polis menahan seramai 22 individu yang disyaki mempunyai kaitan bagi membantu siasatan.
Difahamkan, kesemua pekerja tapak pembinaan terbabit tidak memiliki permit dan dokumen perjalanan yang sah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

