[VIDEO] Anwar kecam Israel halang bantuan kemanusiaan ke Gaza
KUALA LUMPUR - Malaysia masih mempunyai keupayaan dana untuk terus menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, namun usaha tersebut terhalang apabila terdapat lori-lori yang membawa muatan tersekat di sempadan masuk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ratusan lori bantuan Malaysia yang disekat telah menyebabkan terdapat barangan yang rosak.
Menurutnya, usaha menyalurkan bantuan akan dipertingkatkan sebaik sahaja laluan dibuka.

“Kita masih mempunyai kelengkapan, dana dan kemudahan. Beberapa kali saya mohon kerjasama dengan Mesir untuk membantu, tetapi masih dihalang oleh Israel.
“Kita juga telah mengambil langkah melalui Qatar dan kumpulan pertama berjaya menembusi sekatan, manakala kumpulan kedua masih terhalang di sempadan Israel.
“Langkah ketiga yang diambil oleh Kementerian Luar ialah melalui Jordan. Malah, Menteri Luar berada di sana dan menyalurkan bantuan kepada beberapa hospital serta bantuan lain, termasuk usaha Jordan membawa makanan dan bantuan perubatan ke Gaza. Itu pun masih tersekat,” katanya.
“Jadi kini, dari segi bantuan kemanusiaan, kita masih mempunyai dana dan keupayaan, namun masih tidak dapat diteruskan. Beratus lori masih tersangkut... ada juga barangan yang rosak dan punah,” katanya ketika sesi Jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Doris Sophia Brodi (GPS–Sri Aman) yang bertanyakan tentang status terkini bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza setakat ini.
Anwar menambah, dunia sedang berdepan dengan Israel yang disifatkan sebagai tidak waras dan ganas sehingga langsung tidak peduli melihat ramai bayi mati kelaparan.
“Nilai kemanusiaan telah hilang, dan kita telah mendedahkan hipokrasi serta kemunafikan beberapa negara Barat yang membiarkan keadaan ini berlarutan.
“Tetapi percayalah, sebaik sahaja laluan itu dibuka, kita akan menambah segala ikhtiar untuk membantu rakyat yang terkorban,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
