Warga emas maut ketika mendaki bukit

GEORGE TOWN – Seorang lelaki berusia 60 tahun disahkan meninggal dunia selepas pengsan ketika melakukan aktiviti mendaki di Moongate Trail, Taman Botani di Pulau Tikus, pagi Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa dipercayai tidak sedarkan diri semasa berada di laluan pendakian popular itu sebelum pasukan penyelamat menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.56 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 4 kilometer dari balai dan tiba pada jam 10.11 pagi.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah dimaklumkan oleh pihak polis mengenai kejadian melibatkan seorang pendaki yang pengsan di atas laluan.
"Bomba menjalankan bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa namun gagal menyelamatkannya. Kematian mangsa telah disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
John Sagun berkata, operasi membawa turun mayat mangsa dari laluan pendakian ke kaki bukit mengambil masa hampir tiga jam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi yang tamat sepenuhnya pada jam 1.01 tengah hari itu melibatkan lapan anggota bomba bersama sebuah jentera FRT dari BBP Bagan Jermal.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

