Datuk tipu gelaran Datuk dicekup SPRM

KOTA KINABALU – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai menipu seorang lelaki sehingga mendorongnya membayar wang rasuah kira-kira RM6,000, kononnya sebagai balasan bagi membantu mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika hadir untuk dirakam keterangan di Pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 12 tengah hari pada Isnin.
Siasatan awal mendapati bahawa sekitar tahun 2023, suspek disyaki telah menawarkan untuk membantu pengadu mendapatkan darjah kebesaran bergelar Datuk dari negeri Pahang, sedangkan beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Suspek secara tidak jujur telah mendorong pengadu memindahkan wang kira-kira RM6,000 bagi pembelian aksesori baju istiadat, kononnya bertujuan untuk mendapatkan darjah kebesaran berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan tersebut.
Katanya, suspek bagaimanapun dilepaskan selepas membayar deposit tunai sebanyak RM5,000 daripada RM10,000 wang jaminan yang dikenakan terhadapnya.
“Suspek akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
