Lelaki ditahan sorok rokok dalam tandas, miliki Murai Batu dan Dendang Selayang

PGA rampas 22,000 batang rokok seludup dan burung dilindungi termasuk Murai Batu serta Dendang Selayang dalam serbuan di Pasir Mas. Foto PGA
PGA rampas 22,000 batang rokok seludup dan burung dilindungi termasuk Murai Batu serta Dendang Selayang dalam serbuan di Pasir Mas. Foto PGA
A
A
A

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki selepas merampas sebanyak 22,000 batang rokok putih seludup yang disorokkan dalam tandas sebuah premis rumah kedai di Kampung Bukit Tandak di sini pada Ahad.

Serbuan jam 12 tengah hari semasa penugasan Op Taring Wawasan itu turut menemukan lima ekor burung spesis Murai Batu dan seekor Dendang Selayang yang merupakan haiwan dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 44 tahun itu merupakan penjaga premis.

"Kesemua rampasan termasuk rokok dan burung dianggarkan bernilai RM56,000 dan diserahkan kepada IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Pasir Mas dan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan di bawah Jadual Pertama dan Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!