Penjawat awam diminta fokus tugas, elak terlibat agenda jejas integriti

SHAH ALAM - Penjawat awam diingatkan supaya terus menumpukan sepenuhnya kepada tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa dipengaruhi sebarang agenda yang boleh menjejaskan integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat berkata, penjawat awam perlu mengekalkan prinsip berkecuali serta tidak melibatkan diri dalam perhimpunan atau tindakan yang boleh menjejaskan imej dan kepercayaan rakyat terhadap institusi perkhidmatan awam.
“Penjawat awam merupakan tunjang kepada kestabilan pentadbiran negara. Justeru, mereka perlu sentiasa menunjukkan sikap profesional, berintegriti dan memelihara tatasusila dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan Isnin.
Menurutnya, sebagai jentera pelaksana dasar kerajaan, penjawat awam harus mendukung sepenuhnya prinsip-prinsip Rukun Negara, khususnya Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan.
Katanya, sebarang tindakan yang menyimpang daripada prinsip tersebut bukan sahaja mencemarkan nama baik perkhidmatan awam, malah boleh mengganggu kelangsungan sistem pentadbiran negara.
“CUEPACS menggesa semua penjawat awam supaya kekal fokus terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan dan tidak mudah terpengaruh dengan provokasi atau sebarang bentuk aktiviti yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam di mata rakyat,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

