Pelanggan terkejut 'ikan bilis' dalam sup rupanya cicak

SINGAPURA – Seorang pelanggan wanita terkejut apabila menemui seekor cicak di dalam semangkuk sup yang dibelinya dari sebuah medan selera di Jalan Bras Basah pada Jumaat lalu.
Insiden itu berlaku kira-kira jam 1 petang ketika mangsa sedang menikmati makanan tengah hari berupa sup bayam berharga S$6.90 (RM22) di premis berkenaan.
Bapanya, Zheng berkata, anak perempuannya terus berhenti makan selepas melihat cicak tersebut terapung di dalam kuah sup yang masih panas.
“Paling mengejutkan, apabila makanan itu dikembalikan ke gerai berkenaan, pekerja pada awalnya menyangka ia adalah ikan bilis.
“Namun selepas diminta memeriksa dengan lebih teliti, mereka akhirnya mengakui kesilapan dan memulangkan semula bayaran kepada pelanggan tersebut,” katanya seperti dilaporkan portal berita Must Share News.
Sementara itu, pekerja gerai, Nguyen Thi Luan, 41 tahun, mengesahkan kejadian berkenaan dan percaya cicak tersebut mungkin telah jatuh dari siling tanpa disedari ketika penyediaan makanan.
“Kami tidak pasti bila cicak itu masuk ke dalam sup. Ini pertama kali saya menyaksikan kejadian sebegini berlaku di gerai kami,” ujarnya.
Sebagai permohonan maaf, kata Nguyen, pihak gerai turut memberikan secawan teh ais lemon kepada pelanggan tersebut selain memulangkan bayaran makanan.
Tambahnya, mereka pada awalnya berhasrat untuk menyerahkan maklumat untuk dihubungi sekiranya pelanggan mengalami sebarang masalah kesihatan, namun terlupa berbuat demikian kerana keadaan gerai yang terlalu sibuk ketika itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

