Lima lokasi catat IPU tidak sihat

SHAH ALAM – Putrajaya dan Alor Gajah direkodkan sebagai dua lokasi baharu yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 3 petang Ahad menjadikan sejumlah lima kawasan terjejas.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 162, diikuti Johan Setia, Selangor (154); Banting, Selangor (154); Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya (139); dan Alor Gajah, Melaka (110).
“Kemerosotan kualiti udara pada hari ini masih dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu yang memasuki rantau negara sepanjang tempoh 24 jam lalu.
“Tiada kebakaran berskala besar dalam negara yang dikesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Wan Abdul Latiff memaklumkan, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada Sabtu, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)-20 mengesan sebanyak 65 titik panas (hotspot) di Sumatera.
Beliau turut menyatakan bahawa 30 titik panas dikesan di Kalimantan dan empat titik panas dalam Malaysia, masing-masing dua di Pahang dan Selangor.
Menurutnya, peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC menunjukkan pergerakan angin bertiup ke arah barat daya, namun tiada lingkaran asap jerebu diperhatikan.
“Keadaan kering turut dilaporkan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia, Sumatera, Jawa, Kepulauan Sunda Kecil dan selatan Kalimantan,” ujarnya.
Tambah beliau, titik panas terpencil dikesan di Sumatera manakala beberapa lagi dikesan di Semenanjung Malaysia, Kalimantan, Vietnam dan Thailand.
Justeru, JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan-kawasan yang berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke masa.
Menurut Wan Abdul Latiff, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi-agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.
“Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau dengan rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan kawasan industri.
“Selain itu, mereka juga diingatkan agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka, sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

