Aktiviti seleweng minyak sawit hampir RM1 juta tumpas

Lori tangki turut dirampas dalam Op Taring Palma yang dilaksanakan PGA Briged Utara bersama berapa agensi lain.
Lori tangki turut dirampas dalam Op Taring Palma yang dilaksanakan PGA Briged Utara bersama berapa agensi lain.
A
A
A

TAIPING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak sawit mentah dalam satu operasi khas Op Taring Palma melibatkan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

Operasi yang dijalankan pada Rabu sekitar jam 3 petang hingga 6 petang itu dilaksanakan hasil kerjasama antara Cawangan Risik PGA Briged Utara, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Utara dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah lori tangki di kawasan Taiping sebelum mengekori kenderaan terbabit hingga ke tepi Jalan Taiping–Bagan Serai.

“Hasil risikan mendapati suspek sedang memindahkan minyak sawit mentah dari dua lori tangki ke sebuah lori jenis bonded secara haram.

"Pemeriksaan lanjut menemui 10 tong biru berkapasiti 200 liter setiap satu yang dipenuhi minyak sawit mentah dan beberapa peralatan pemindahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Shahrum berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan tiga lelaki warga tempatan serta rampasan 75,400 kilogram minyak sawit mentah.

Katanya, turut dirampas tiga buah lori, pelbagai peralatan pemindahan dan tiga unit telefon bimbit dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM975,200.

Dalam masa sama, beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Taiping turut mengeluarkan dua saman ke atas suspek atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada MPOB Wilayah Utara untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 5, Peraturan-Peraturan MPOB (Pelesenan) 2005.

Artikel Berkaitan:

Shahrum turut menegaskan bahawa Briged Utara PGA komited menjalankan pemantauan rapi di seluruh Perak, Pulau Pinang dan Kedah dalam usaha mengekang kegiatan haram yang melibatkan hasil negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!