IPD Port Dickson lupus barang kes hampir RM1 juta termasuk mesin ‘bitcoin’

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada Khamis melaksanakan proses pelupusan barang kes melibatkan nilai rampasan hampir RM1 juta.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, sebanyak 194 kertas siasatan telah diputuskan oleh mahkamah membabitkan pelbagai jenis barang kes seperti rokok seludup, peralatan perjudian, komputer riba, penyambung elektrik dan mesin ‘mining’ bitcoin.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 92 kertas siasatan telah mendapat arahan daripada pihak pendakwa raya agar barang-barang kes diserahkan kepada pihak polis untuk dilupuskan.
“Antara barang terlibat dalam pelupusan ini termasuk 9,178 karton rokok seludup, 18 unit mesin ‘mining’ Bitcoin, pereralatan ICT serta kmponen elektrik dan elektronik lain,” katanya menerusi sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata, proses pelupusan dijalankan oleh Syarikat Pandamaran Jaya Motor dari Pelabuhan Klang, yang dilantik di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaras dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
“Mesin Bitcoin akan dilupuskan secara manual, manakala rokok seludup akan dibakar menggunakan kebuk pembakaran bagi memastikan proses pelupusan dijalankan secara telus dan selamat.

“Pelupusan ini adalah bukti komitmen pihak polis dalam menjaga integriti penyimpanan barang kes dan memastikan tiada ruang untuk penyelewengan,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan beliau memaklumkan, PDRM akan menempatkan seramai 400 anggota bertugas sempena Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan Madani pada 19 dan 20 Julai ini di daerah berkenaan.
“PDRM telah mengatur penugasan rapi melibatkan bahagian ronda, trafik dan pencegahan jenayah, termasuk kawalan keselamatan untuk VVIP dan orang ramai.
“Penugasan ini turut mendapat bantuan daripada IPD-IPD berhampiran dalam Negeri Sembilan, terutama kawasan sempadan,” ujar beliau.
Tambahnya, setakat ini, tiada penutupan jalan diumumkan, namun orang ramai dijangka berdepan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh tersebut.
“Saya mohon kerjasama masyarakat yang berkunjung agar bersabar sekiranya berlaku kesesakan. Pihak kami akan menempatkan petugas untuk membantu melancarkan pergerakan trafik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

