Usia 80 tahun derita kanser tahap 4

POKOK SENA - Kehidupan seorang warga emas berubah sekelip mata apabila ketulan sebesar guli di lehernya yang mula membesar telah disahkan oleh doktor sebagai kanser tiroid.
Miah Mat, 80, yang tinggal di Kampung Bendang Baru, Jalan Naka di sini disahkan menghidap penyakit tersebut pada tahap empat sejak beberapa tahun lalu.
Menurut anak bongsunya, Razalee Yunus, 36, bengkak di leher ibunya kini membesar, dan salah satu ketulan telah pecah menyebabkan darah keluar dan perlu dicuci tiga kali sehari.
"Ketulan di leher mak pernah dibuang melalui pembedahan, tapi enam bulan selepas itu ia tumbuh semula, dan kali ini lebih besar,” katanya semasa ditemui di rumah mereka di sini pada Rabu.
Jelasnya lagi, doktor memaklumkan pembedahan atau kemoterapi tidak sesuai dilakukan kerana boleh mengundang risiko tinggi selain faktor usia.
Razalee peroleh pendapatan sekitar RM1,200 sebulan tetap tabah menjaga ibunya, termasuk membersihkan luka setiap hari bagi mengelak jangkitan.
“Keadaan mak agak lemah, tak lalu makan dan berat badan pun makin turun.
"Meskipun bahagian leher tidak rasa sakit namun sejak beberapa hari ini, ibu sukar tidur hingga menangis keresahan,” ujarnya bekerja di kampung.
Menurut Razalee, mereka sekeluarga bergilir menjaga ibu termasuk kakak iparnya, Rahmah Saad, 62, yang sentiasa hadir membantu.
Setiap bulan, anak-anak akan membawa Miah ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam bernombor 02075025183281 atas nama Razalee Yunus.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal turut mengunjungi pesakit dan menyampaikan bantuan berupa wang tunai serta keperluan dapur sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada keluarga terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

