90 polis Kelantan bebas obesiti, turun sehingga 27kg

KOTA BHARU – Seramai 90 anggota, pegawai dan kakitangan awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan berjaya keluar daripada kategori obesiti melalui program penurunan berat badan sejak November tahun lalu.
Bagaimanapun, seramai 264 lagi peserta kekal dalam kategori itu.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kesemua 354 peserta berusia 45 tahun ke bawah di kontinjen itu dikenal pasti obesiti berdasarkan penilaian awal, sebelum sukarela menyertai program pemulihan berat badan hingga April lalu.

“Seramai 90 peserta berjaya keluar dari kategori obes selepas enam bulan dan paling tinggi turun hingga 27 kilogram.
“Walaupun 264 lagi masih belum capai tahap ideal, mereka sudah menunjukkan penurunan dan berada dalam proses perubahan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Biggest Losses di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Selasa.
Mohd Ali menegaskan bahawa pengurusan berat badan bukan lagi soal peribadi, sebaliknya sudah menjadi kriteria rasmi perkhidmatan dalam PDRM.
Menurutnya, Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis ke-124 pada Februari tahun lalu memutuskan bahawa semua pegawai dan anggota perlu memiliki BMI tidak melebihi 30 untuk layak disahkan pangkat atau memohon Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).
“Skim tertentu pula hanya benarkan permohonan daripada mereka yang miliki BMI antara 19 hingga 26.
“Kalau tidak turun berat badan, peluang naik pangkat dan sertai kursus akan terhalang,” katanya.
Beliau turut menyentuh persepsi masyarakat terhadap penampilan anggota beruniform yang sering menjadi perhatian awam, khususnya dalam era media sosial.
“Kami mahu anggota PDRM bukan saja cekap dan berintegriti, tapi juga cergas, sihat dan berpenampilan kemas.
“Penampilan fizikal mencerminkan disiplin serta kesiapsiagaan barisan hadapan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata walaupun masih ramai belum keluar dari kategori obesiti, pihaknya menganggap program ini berjaya menanam benih perubahan jangka panjang.
“Bagi yang belum berjaya bebas obes, kami akan teruskan pemantauan dan bantu melalui pendekatan lebih tersusun serta berfasa.
“Bukan semata-mata berdasarkan jumlah kilogram, yang penting peserta mula berubah daripada gaya pemakanan, aktiviti fizikal hingga kesedaran kendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

