Suparadi akan lepaskan jawatan Pengerusi TEKUN

Mohamad Suparadi Md Noor
Mohamad Suparadi Md Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor akan melepaskan jawatan yang disandangnya itu sejak Oktober 2018 lepas berikutan peralihan kerajaan Perikatan Nasional ketika ini.

Mohamad Suparadi berkata, peletakan jawatan itu nanti bagi membolehkan kerajaan Pusat memilih penggantinya kerana ia adalah lantikan politik.

"Saya pegang prinsip dan saya akan letak jawatan (TEKUN) bagi membolehkan kerajaan baharu menamakan pengerusi baharu... tidak ada masalah bagi saya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan khas bersama lebih 200 ahli PKR Kelantan di sini malam tadi.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana telah banyak membantu rakyat ketika berada bersama TEKUN sebelum ini.

Mengenai nasib lebih 200 ahli parti itu dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan, Mohamad Suparadi berkata, keanggotaan mereka telah pun gugur apabila bertukar kerajaan dan beliau menafikan dakwaan lebih 10,000 ahli PKR di negeri ini akan meninggalkan parti itu kerana kecewa dengan situasi politik semasa.

Sebaliknya hasil perbincangan dengan 14 ketua cabang di negeri ini mendapati dakwaan itu tidak berasas dan hanya 300 ke 500 sahaja yang keluar parti kerana tidak lagi bersama kami sejak lama dan menunggu masa untuk berbuat demikian. - Bernama

Artikel Berkaitan: