Bila diberi tugasan banyak alasan, tapi bergosip sana sini boleh pula!

SUATU pagi yang hening, sambil bersarapan Merak Jalanan terdengar keluhan dari meja sebelah.
“Kacau mood betul pagi-pagi hujung minggu ni. Nak bersantai pun tak dapat,” luahnya selepas membaca pesanan ringkas. Mungkin daripada majikan atau ketuanya, agak Merak Jalanan sambil menghirup kopi panas.
“Ni bukan kerja aku. Tiba-tiba pula kena buat,” katanya kepada rakannya di sebelah.
"Rakannya menyampuk: “Itulah majikan sekarang. Asyik nak perah keringat pekerja. Dah hari cuti pun masih disuruh buat itu dan ini.” Seorang lagi rakannya mengiyakan seolah-olah bersetuju.
Merak Jalanan hanya memasang telinga, mereka bertiga kemudiannya bercerita mengenai ‘kehidupan’ di pejabat masing-masing. Ada yang suka 'mengipas' bos, ada yang cemburu dengan kejayaan rakan, ada yang hanya pandai bersembang dan sebagainya.
Bagi Merak Jalanan, ia tidak pelik dan di mana-mana tempat kerja pun, akan ada pekerja-pekerja yang berperangai toksik sedemikian.
Merak Jalanan bukanlah pekerja yang paling cemerlang dalam pejabat, namun dalam hati berniat sehabis upaya untuk memberikan yang terbaik kepada majikan dan ketua yang memimpin.
Apa sahaja arahan yang diberikan ketua, tentu ada sebabnya iaitu untuk mendidik, memberi peluang melangkah lebih jauh, memberi tunjuk ajar dan sebagainya. Pasti ada hikmahnya.
Sebagai orang bawahan, berikan rasa hormat kepada ketua dan majikan serta patuh arahannya. Jika ada yang mungkin tersilap langkah, berbincang dengan baik. Bukannya dicanang-canang keburukan dan kelemahan ketua kepada rakan lain.
Tiga rakan di sebelah meja Merak Jalanan itu salah satu contoh pekerja yang ‘berkira’ dengan majikan, sedangkan banyak kebaikan yang telah ditaburkan kepada pekerja sepanjang tempoh mereka bertugas. Pesan Merak Jalanan, positifkan diri terlebih dahulu. Bertimbang rasalah dengan majikan, ketua dan rakan sekerja yang lain. Ini tidak.
Jika diberi tugasan, mulalah bising memberi alasan dan cakap kerja banyak, tapi bergosip sana sini boleh pula!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
