Lelaki dan teman wanita Thailand ditahan bersama 8.2kg ganja

Abdul Rozak (dua dari kanan) menunjukkan ganja yang dirampas daripada pasangan kekasih terbabit.
Abdul Rozak (dua dari kanan) menunjukkan ganja yang dirampas daripada pasangan kekasih terbabit.
A
A
A

GEORGE TOWN – Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan Pulau Tikus dan Tanjong Tokong di sini dengan tertangkapnya sepasang kekasih serta rampasan dadah jenis ganja bernilai lebih RM25,000.

Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 20 dan 25 tahun itu ditahan pada jam 9.30 malam, 10 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam serbuan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), lelaki tempatan berkenaan ditahan bersama kekasihnya, seorang wanita warga Thailand.

“Kita menahan kedua-dua mereka di tepi jalan di Pulau Tikus sebelum dibawa ke sebuah rumah di Tanjong Tokong.

“Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan, kita merampas 15 ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dibalut dengan plastik lut sinar dengan anggaran berat keseluruhan 8.2 kilogram (kg).

“Nilai keseluruhan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM25,420 dan mampu digunakan oleh kira-kira 16,400 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di IPDTL di sini pada Isnin.

Abdul Rozak berkata, saringan awal mendapati suspek lelaki positif dadah jenis benzodiazepine serta mempunyai empat rekod jenayah lampau manakala suspek wanita didapati negatif dadah dan tiada rekod jenayah.

“Siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai aktif sejak awal tahun ini bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 11 hingga 17 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jumlah keseluruhan sitaan, termasuk dadah yang dirampas, adalah sebanyak RM46,890.

Beliau menegaskan, polis akan terus komited memperhebat usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa lain secara menyeluruh.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah diminta menyalurkan maklumat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM di talian hotline 012-2087222,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!