Wajah bernanah, bengkak selepas 22 tahun tak cuci solekan

JILIN – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita berusia 37 tahun dari wilayah Jilin menjadi tular di media sosial China selepas mendedahkan bahawa dia tidak pernah mencuci solekan secara menyeluruh selama lebih 22 tahun sehingga menyebabkan wajahnya mengalami ruam teruk dan bernanah serta bengkak luar biasa.
Wanita tersebut, hanya dikenali sebagai Gao, berkongsi kisahnya menerusi satu video sebagai peringatan kepada orang ramai agar tidak memandang ringan soal penjagaan kulit wajah selepas bersolek.
Menurutnya, dia mula memakai solekan sejak usia 15 tahun kerana tertarik dengan gincu ibunya, namun sejak itu menganggap mencuci muka dengan air biasa sudah mencukupi.
“Saya fikir tak perlu buang solekan kalau esok nak pakai lagi. Jadi setiap malam saya cuma bilas dengan air dan esoknya saya tambah lagi solekan,” katanya.
Meskipun pernah mengalami jerawat, Gao mendakwa kulitnya masih kelihatan normal sehinggalah awal tahun ini apabila berlaku reaksi alahan serius yang menyebabkan wajahnya membengkak, berubah bentuk dan kelihatan seperti orang lain.
Apa yang memburukkan lagi keadaan, Gao tidak mendapatkan rawatan dermatologi, sebaliknya memilih untuk menerima suntikan ‘penggalak kulit’ di sebuah klinik estetik.
Namun, kesan sampingannya lebih teruk apabila kulit wajahnya bertukar menjadi keunguan.
“Gatalnya amat teruk... Saya hanya berkurung di rumah. Saya takut nak keluar, takut jumpa orang, tak berani berkawan.”
“Paling teruk, rasa macam ada ribuan semut kecil menjalar atas muka saya,” katanya dalam video tersebut.
Tambahnya, dia juga mengakui pernah menggunakan bedak asas murah sewaktu remaja disebabkan kekangan kewangan dan percaya produk murah itu turut menyumbang kepada kerosakan kulitnya kini.
Bagaimanapun, pakar dermatologi di China menyatakan bahawa punca sebenar keadaan Gao mungkin lebih kompleks daripada sekadar tidak mencuci muka.
“Tak cuci muka selama dua dekad memang bahaya, tapi dalam kes ini, mungkin melibatkan gabungan penggunaan produk berbahaya, penyalahgunaan steroid atau suntikan berulang,” ujar seorang pakar kulit.
Kisah Gao mencetuskan perdebatan hangat di platform Weibo apabila sebahagian pengguna ragu-ragu sama ada solekan yang tidak dibersihkan boleh membawa kesan sedemikian rupa atau wanita itu sengaja mereka cerita untuk meraih perhatian.
Sesetengah netizen malah menuduhnya sengaja menggunakan keadaannya untuk meraih simpati dan tontonan dalam talian. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

