Suspek khianat pukul kereta diberkas

GEORGE TOWN – Polis berjaya memberkas suspek yang terlibat dalam kejadian khianat dengan bertindak memukul sebuah kereta menggunakan sebatang besi seperti dalam video tular baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditangkap di tepi jalan Persiaran Karpal Singh di sini kira-kira jam 10.15 malam pada Sabtu.
"Pihak polis telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam masa singkat dengan menangkap suspek yang terlibat.
"Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan dan turut dirampas kereta dan sebatang rotan yang digunakan oleh suspek dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Swee Sake berkata, lelaki berkenaan kini direman sehari untuk membantu siasatan.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan polis sedang memburu suspek yang terlibat dalam kejadian khianat dengan bertindak memukul sebuah kereta dengan objek dipercayai besi selepas berlakunya pelanggaran kecil.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4 petang, Jumaat lalu di Jalan Lebuh Pantai, George Town.
Swee Sake berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa, seorang lelaki berusia 25 tahun pada hari yang sama.
Katanya, kenderaan mangsa telah dilanggar oleh sebuah Perodua Myvi sebelum pemandunya keluar dan mengambil sebatang besi lalu memukul bahagian pintu belakang kereta mangsa.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM3,000 akibat kerosakan pada kenderaannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

