Wanita maut motosikal langgar kereta

KOTA BHARU - Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer (KM) 3, Jalan Pasir Puteh - Jelor - Bachok berdekatan simpang empat lampu isyarat Bukit Gedombak, Pasir Puteh pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai kira-kira jam 12.48 tengah hari ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh menghala ke Tok Bali melalui simpang empat berkenaan.
Menurut beliau, pada masa sama, sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun turut berada di laluan sama.
"Ketika lampu isyarat bertukar hijau, motosikal yang ditunggang mangsa berusia 19 tahun itu tiba-tiba melanggar sisi kanan kereta berkenaan sebelum terjatuh di laluan bertentangan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau turut meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Aliah Syafinah Ani Sarudin di talian 0136706156 atau pergi ke balai polis berdekatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
