Karamjit cari dana RM160,000

LEGENDA sukan permotoran negara, Karamjit Singh berdepan kekangan masa dalam usaha mencari dana RM160,000 bagi untuk bersaing dalam Kejohanan Rali Malaysia (MRC) musim ini.
Juara kebangsaan sebanyak 17 kali itu mengintai gelaran ke-18, namun bebanan kewangan menjadi halangan utama untuk merealisasikan impian tersebut.
Karamjit yang terkenal dengan julukan 'The Flying Sikh' berkata, MRC 2025 akan melibatkan empat pusingan dengan kos kira-kira RM40,000 bagi setiap pusingan.
Pusingan pertama dijadualkan berlangsung awal bulan depan dengan tempoh kurang sebulan untuk mendapatkan tajaan yang diperlukan.
“Lazimnya saya guna wang sendiri, tetapi kali ini memang susah sikit sebab kosnya agak tinggi. Namun, saya tidak pernah berputus asa dan akan terus berusaha sehingga ke saat akhir untuk mencari penaja,” katanya.
Pada musim lalu, Karamjit yang mencecah usia 63 tahun memenangi dua daripada tiga pusingan yang disertainya.
Bagi mengharungi saingan musim ini, Karamjit akan terus bergantung pada Proton Gen 2, biarpun sedar jentera itu sudah 'penat' dan tidak boleh dipaksa ke tahap maksimum.
Selepas kehilangan pembantu juru arahnya yang juga sahabat karib, mendiang Jagdev Singh, beberapa tahun lalu, Karamjit bakal bergandingan secara bergilir dengan dua juru arah berpengalaman dari India.
Mereka ialah Musa Sherif dan Vivek Ponnusamy yang pernah bekerjasama pada kejohanan antarabangsa sebelum ini, termasuk ketika menjuarai Rali Asia Pasifik.
Justeru Karamjit merayu kepada mana-manaj syarikat korporat atau individu yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada perjalanannya dalam memburu kejuaraan ke-18.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
