Pemain warisan JDT tonik tambahan Harimau Malaya

PENAMPILAN empat pemain berdarah warisan negara 'kelas A' dalam skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi tonik tambahan bagi memacu barisan kejurulatihan yang diterajui Peter Cklamovski untuk mencongak strategi terbaik buat skuad Harimau Malaya.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, empat pemain berdarah warisan di JDT dengan tiga daripadanya sudah beraksi buat skuad Harimau Malaya sebelum ini memudahkan barisan kejurulatihan untuk memantau prestasi mereka dengan lebih dekat dan teliti.
“Saya fikir kehadiran pemain ini di JDT dapat menguatkan lagi pasukan kebangsaan.
"Kita tahu JDT mengimpikan untuk beraksi di Piala Dunia Kelab jadi persediaan mereka tepat dan kita mengambil kesempatan ini untuk skuad kebangsaan.
“Mereka juga lebih dekat dengan kita kerana beraksi di liga tempatan. Ini pun memberi kelebihan kepada Cklamovksi kerana pemain ini di depan mata dia, sentiasa berada dalam radar barisan kejurulatihan.
“Ramainya pemain ini nanti, tentu memberi pilihan yang lebih besar kepada Cklamovksi untuk mendapatkan pemain yang terbaik sahaja bagi mewakili negara,” katanya ketika ditemui media selepas majlis menandatangani pembaharuan perjanjian FAM dan Bank Islam di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Bank Islam meneruskan komitmennya terhadap kemajuan sukan bola sepak negara dengan memeterai perjanjian kerjasama strategik bersama badan induk itu yang kini memasuki pembaharuan kali kelima.
Menerusi perjanjian itu, Bank Islam akan menganjurkan program-program pengaktifan, sama ada secara digital mahupun di lokasi acara yang melibatkan FAM, termasuk penyediaan reruai khas pada hari perlawanan, aktiviti penjenamaan bersama, kandungan media sosial serta pertandingan untuk peminat.
Mohd Yusof yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan turut melihat kehadiran pemain berdarah warisan baharu di JDT memberi petanda positif betapa mereka percaya kepada kemampuan skuad Harimau Selatan untuk membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya rasa mereka memandang ke Malaysia ini atas faktor JDT.
"Pasukan itu memberi satu rangsangan yang menyebabkan mereka memandang tinggi ke Malaysia dan JDT juga beraksi di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Sebagai rekod, selepas menghimpun beberapa pemain berdarah kacukan sejak beberapa musim sebelum ini, JDT yang dibimbing Xisco Munoz berjaya mengikat empat lagi 'harimau kacukan' baharu setakat ini.
Tiga pemain iaitu Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo sudah beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal dan Vietnam sebelum ini.
Nacho Mendez pula menjadi rekrut baharu JDT apabila kelab itu mengumumkan status pemain tengah kelab liga Portugal, Sporting Gijon itu sebagai pemain warisan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
