Hormati proses pelantikan badan kehakiman selaras perlembagaan - Anwar

Anwar ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, di sini, hari ini. Foto Bernama
Anwar ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, di sini, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencampuri urusan institusi kehakiman, termasuk soal pelantikan hakim mahupun sebarang keputusan mahkamah sejak mengambil alih pentadbiran negara.

Beliau berkata, dalam proses pelantikan badan kehakiman, perkara itu perlu dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta bidang kuasa yang ditetapkan.

"Saya lebih dua tahun setengah (menjadi Perdana Menteri) tidak pernah campur dalam urusan (pelantikan badan kehakiman) atau keputusan mahkamah.

"Apa yang penting adalah kita patuh pada proses yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, mengulas hasrat Badan Peguam Malaysia untuk menganjurkan perhimpunan dan perarakan aman pada Isnin ini, Anwar berkata perkara itu merupakan keputusan pihak penganjur.

Bagaimanapun, katanya isu mengenai kebebasan kehakiman yang dibangkitkan telah dijelaskan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said malah Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Perdana Menteri berkata, sekiranya terdapat cadangan untuk mengubah mekanisme pelantikan kehakiman, ia perlu dilakukan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

"Bidang ini (pelantikan badan kehakiman) kita ikut proses yang diamalkan selama ini (Perlembagaan Persekutuan),” katanya.

Badan Peguam Malaysia sebelum ini dilaporkan berhasrat menganjurkan perhimpunan dan perarakan aman yang dijadualkan bermula dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri di sini bagi menyerahkan memorandum berhubung pelantikan badan kehakiman. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!