Lelaki tekup mulut, cuba samun wanita sedang tidur

Suspek yang cuba menyamun wanita di sebuah bilik sewa berjaya ditahan polis di Tawau.
Suspek yang cuba menyamun wanita di sebuah bilik sewa berjaya ditahan polis di Tawau.
A
A
A

TAWAU – Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan polis selepas disyaki menceroboh masuk ke sebuah bilik sewa dan cuba menyerang seorang wanita yang sedang tidur dalam kejadian pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Strike Team Balai Polis Tawau di kawasan tempat letak kereta sebuah inap desa di bandar ini, kira-kira jam 10.15 malam Khamis.

“Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang wanita berusia 25 tahun yang menjadi mangsa kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Jasmin, ketika kejadian mangsa sedang tidur di bilik sewanya sebelum tersedar apabila suspek menyelinap masuk dan menekup mulut mangsa dalam cubaan untuk menyamun.

“Mangsa yang terkejut terus menjerit dan menepis tangan suspek sebelum berjaya menolak pintu bilik sehingga suspek tercampak keluar,” ujarnya.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun tidak terus melarikan diri dan masih berada di luar rumah menyebabkan mangsa bersama beberapa penyewa lain bersembunyi kerana ketakutan.

“Tindakan pantas mangsa dan penyewa lain berjaya menggagalkan cubaan suspek. Tiada barang berharga dilaporkan hilang,” katanya.

Suspek berjaya dikesan menerusi penelitian pada CCTV selepas kejadian cubaan samun seorang wanita di Tawau.
Suspek berjaya dikesan menerusi penelitian pada CCTV selepas kejadian cubaan samun seorang wanita di Tawau.

Artikel Berkaitan:

Polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan hasil risikan membawa kepada penahanan suspek beberapa hari kemudian.

"Ketika ditahan, polis merampas topi, beg silang dan selipar milik suspek yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Suspek turut mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” tambah beliau.

Jasmin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti kemungkinan suspek terlibat dalam kes lain sebelum ini.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada, memastikan pintu dan tingkap rumah dikunci rapi serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!