Misteri lelaki berpakaian hitam cetus panik pelajar sekolah rendah

KUALA KRAI – Seorang lelaki berpakaian serba hitam lengkap berkaca mata gelap dan bertopeng muka mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelajar sekolah rendah apabila didapati menghampiri seorang murid Tahun Empat di kawasan Gucil, di sini.
Klip video insiden itu tular di media sosial sejak pagi Khamis menyebabkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat setempat mengenai keselamatan anak-anak, khususnya pelajar sekolah rendah yang mudah terdedah kepada ancaman jenayah.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan keselamatan murid terjamin.
“Ketua Polis Balai telah diarahkan untuk meningkatkan rondaan, khususnya ketika waktu tamat sesi persekolahan. Pihak sekolah juga dinasihatkan supaya tidak membenarkan pelajar keluar sebelum ibu bapa atau penjaga tiba,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pengawal keselamatan sekolah turut diminta mengetatkan pemantauan, termasuk memastikan pelajar hanya keluar bersama waris yang sah dan dicatatkan rekodnya.
Dalam pada itu, Mazlan turut meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian atau aktiviti mencurigakan terus kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Ujarnya, sebagai langkah pencegahan, pihak polis turut menyarankan beberapa panduan keselamatan kepada pelajar antaranya, menunggu di dalam kawasan sekolah sehingga dijemput waris, elak berjalan seorang diri, sebaliknya sentiasa berdua atau bertiga dan jika didekati individu tidak dikenali, segera menjerit serta lari ke kawasan selamat atau ke pondok pengawal.
"Tunggu di pondok pengawal sekiranya ibu bapa belum tiba.
"Orang ramai juga digalakkan memuat turun aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) PDRM 2.0 sebagai saluran pantas untuk melaporkan kejadian kepada polis, selain talian kecemasan 999 atau Balai Polis Kuala Krai di talian 09-9666222.
“Pihak polis akan terus komited dalam memastikan keselamatan kanak-kanak dan ketenteraman awam terpelihara dengan kerjasama semua pihak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

