10,000 kuota tambahan program MyLesen B2

SEREMBAN – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menambah sebanyak 10,000 lagi kuota program MyLesen (B2) di seluruh negara dengan melibatkan peruntukan RM3.5 juta.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, penambahan kuota tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada lebih ramai belia untuk memiliki lesen memandu secara sah, malah dapat membantu mengurangkan kes penunggang tanpa lesen yang menjadi antara punca utama kemalangan jalan raya.
“Bagi tahun 2025, sebanyak 15,000 kuota diperuntukkan bagi program MyLesen di seluruh negara dan daripada jumlah itu, seramai 14,581 peserta telah berjaya menyertainya.
“Untuk separuh kedua tahun ini, kita akan tambah lagi 10,000 kuota di seluruh negara melibatkan peruntukan RM3.5 juta di bawah inisiatif MOT,” katanya pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, daripada jumlah tersebut, 1,000 kuota akan dikhaskan untuk Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong tindakan menarik balik lesen penerima program sekiranya mereka didapati terlibat dalam aktiviti haram seperti lumba haram.
Selain itu, beliau turut menyeru pihak sekolah agar memainkan peranan memastikan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah memiliki lesen yang sah.
“Memang kita tahu ada dalam kalangan pelajar, terutama di kawasan luar bandar, yang menunggang motosikal tanpa lesen.
“Sebab itu kita perlukan kerjasama daripada pihak sekolah, khususnya Jabatan Pendidikan Negeri, untuk memantau dan memastikan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah mempunyai lesen yang sah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

