Kerajaan digesa laksana reformasi kerjaya doktor elak penghijrahan

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melakukan reformasi menyeluruh terhadap ekosistem kerjaya doktor di negara ini bagi mengelakkan peningkatan penghijrahan dalam sektor penjagaan kesihatan negara.
Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran berkata, ia susulan inisiatif Singapura mengadakan sesi temu duga terbuka bagi pengambilan doktor di negara ini pada bulan depan yang dibimbangi mempercepatkan lagi proses penghijrahan tersebut.
“Ia turut merangkumi tawaran pakej tahunan sebanyak RM385,000 dan penginapan serta pelbagai faedah tambahan.
“Lebih mengejutkan, syarat kelayakan telah dilonggarkan. Kini, semua graduan perubatan Malaysia boleh memohon tanpa perlu melalui sebarang peperiksaan kelayakan seperti sebelum ini.
“Kos sara hidup di Singapura, terutamanya sewa rumah, turut ditanggung. Maka, tawaran ini amat menarik khususnya kepada doktor muda kita yang masih mencari hala tuju dalam sistem domestik,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Ujar Dr Lingeshwaran, keprihatinan di peringkat pentadbiran perlu segera diterjemah kepada pelaksanaan bagi membantu golongan petugas kesihatan di negara ini.
“Apa jadi dengan elaun ‘on-call’ dan kenaikan elaun pakar yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025? Sudah masuk bulan Julai, tetapi masih belum dilaksanakan.
“Ini menjejaskan keyakinan doktor terhadap sistem. Sedangkan negara jiran bertindak pantas dengan tawaran menarik, kita pula masih terikat dengan birokrasi dan ketidaktentuan pelaksanaan,” ujarnya.
Menurut beliau, negara dibimbangi kehilangan lebih ramai tenaga profesional yang berkualiti tinggi sekiranya isu berkenaan dibiarkan tanpa pembaharuan struktur yang menyeluruh.
“Ini isu kepercayaan terhadap sistem. Doktor-doktor muda mahukan kepastian, sokongan dan masa depan yang stabil.
“Kini adalah masanya untuk bertindak. Kita harus menghargai doktor kita bukan sahaja dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan.
“Reformasi perlu dilaksanakan, bukan ditangguh,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

