Misteri kematian aktres jelita, mayat ditemui hampir mereput

KARACHI - Aktres dan model Pakistan, Humaira Asghar Ali ditemui mati di sebuah pangsapuri.
Keputusan forensik yang dimaklumkan penyiasat pada Khamis mendapati wanita itu dipercayai telah meninggal dunia sejak Oktober 2024.
Menurut pihak berkuasa, penemuan mayatnya dibuat selepas beberapa pegawai hadir di kawasan kejiranan komersial Ittehad tersebut untuk melaksanakan langkah pengusiran oleh mahkamah.
"Pihak berkuasa dari balai polis Gizri bertindak memecahkan pintu rumahnya selepas menerima aduan bailif kerana tidak menerima sebarang respons daripadanya," lapor Dawn.
Selebriti jelita berusia 32 tahun itu dikatakan tinggal bersendirian dan gagal membayar sewa sejak 2024 hingga menyebabkan pemilik rumah berkenaan mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.
Ketua Polis Karachi Selatan, Syed Asad Raza berkata, pintu dan laluan di balkoni rumah tersebut dikunci dari dalam serta tiada tanda dipecah masuk.
"Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah. Usaha sedang dilakukan untuk menjejaki ahli keluarganya menerusi rekod panggilan telefon. Aktiviti media sosial Humaira juga menunjukkan kali terakhir dia aktif di pelbagai platform adalah pada September 2024," ujarnya.
Sementara itu, beberapa jiran Humaira mendakwa tidak melihat pelakon itu sejak beberapa bulan lalu selain terhidu bau busuk dari unit kediamannya.
Mayat mangsa yang mula mereput itu dihantar ke Jinnah Postgraduate Medical Centre untuk post mortem bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

