X

Kindly register in order to view this article
!

Misbun rangka modul latihan khas untuk jurulatih

Misbun Sidek - Foto Bernama
A
A

SATU modul latihan khas disediakan Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek untuk diguna pakai jurulatih negara dalam usaha melahirkan pemain bertaraf dunia.

Beliau berkata, formula modul latihan khusus untuk pasukan jurulatih itu sudah digunakannya hingga berjaya melahirkan jaguh seperti Datuk Lee Chong Wei dan beberapa pemain lain yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sekurang-kurangnya sumbangan saya ini boleh memastikan badminton negara mendapat perhatian peminat sukan global,” katanya ketika ditemui di Kejohanan Remaja Terbuka Manjung dekat sini hari ini.

Bulan lalu, legenda badminton negara itu dipertanggungjawabkan untuk membimbing skuad remaja dan diberi tempoh dua bulan untuk mengemuka cadangan berhubung struktur baharu yang diperlukannya membabitkan program skuad remaja negara.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi cemerlang pemain perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia di kejohanan All-England, bekas ketua jurulatih kebangsaan itu berkata, pemain negara perlu lebih tenang dan menggunakan kebijaksanaan apabila berdepan pemain Denmark, Viktor Axelsen petang ini.

Katanya, biarpun kali pertama menyertai kejohanan itu, bekas anak didiknya itu telah mempamerkan aksi meyakinkan dan matang sehingga berjaya menyingkirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China pada aksi suku akhir semalam.

“Dia tidak mendapat slot untuk bermain tahun lalu disebabkan ranking. Tahun ini apabila dia dapat peluang main di All-England, saya lihat corak permainannya lebih bersemangat dan matang,” katanya.

Pemain negara berusia 21 tahun yang menghuni ranking ke-13 dunia mara ke separuh akhir selepas menewaskan jaguh China itu 21-12, 12-18 untuk berdepan bekas juara dunia, Axelsen yang mengetepikan pemain China, Shi Yuqi 21-15, 21-17 dalam satu lagi aksi suku akhir semalam. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus