Pembukaan HPG: Johor bincang isu kekurangan petugas kesihatan dengan KKM - Exco

Tian Soon (dua kiri) dan Onn Hafiz (tiga kanan) pada Hari Sambutan Hari Jururawat peringkat negeri di Danga Bay pada Khamis.
Tian Soon (dua kiri) dan Onn Hafiz (tiga kanan) pada Hari Sambutan Hari Jururawat peringkat negeri di Danga Bay pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat bagi mencari penyelesaian terhadap kekurangan petugas kesihatan di beberapa hospital negeri ini susulan penempatan kakitangan ke Hospital Pasir Gudang (HPG).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, langkah memindahkan kakitangan berpengalaman, termasuk doktor serta jururawat dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) ke HPG, adalah sebagai persediaan menjelang pembukaan hospital baharu pada 1 Ogos.

“Sebahagian petugas telah dipindahkan daripada fasiliti lain supaya HPG boleh dioperasi pada masa yang telah diumumkan.

"Kita akan jumpa dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya jawatan kosong yang ditinggalkan ini dapat diganti dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor di Danga Bay pada Khamis.

Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tian Soon berkata, penempatan petugas ke HPG melibatkan kakitangan daripada seluruh negeri Johor bagi memastikan hospital baharu itu dapat beroperasi mengikut jadual ditetapkan.

“Kebiasaannya pihak jabatan akan menawarkan kepada petugas yang tinggal berhampiran hospital, namun bagi memastikan HPG dapat beroperasi seperti dirancang sebahagian mereka dipindahkan dari fasiliti lain di seluruh Johor.

"Pemilihan petugas juga mengambil kira keperluan untuk menggabungkan kakitangan berpengalaman dan baharu supaya dapat memastikan kelancaran pengoperasian hospital,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Tian Soon turut mengulas mengenai Hospital Sultanah Aminah 2 yang mana projek terbabit kini berada di fasa persediaan terakhir apabila Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sedang menyiapkan kertas kerja pelaksanaan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

"Sebelum ini KKM telah menyediakan kertas cadangan yang memperincikan keperluan hospital tersebut termasuk jumlah katil dan jabatan yang akan diwujudkan.

“Apabila mendapat kelulusan atau hala tuju daripada pihak Kabinet, barulah kerja-kerja persiapan awal dapat dimulakan bagi pembinaan HSA 2,” katanya.

Beliau turut memaklumkan lokasi hospital baharu itu telah diputuskan di atas tanah seluas kira-kira 70 ekar berhampiran Skudai dan Mutiara Rini yang sebelum ini milik Kementerian Pertahanan (Mindef).

“Kerajaan negeri telah memainkan peranan sebagai orang tengah dengan berbincang bersama Mindef dan KKM sebelum akhirnya mencapai persetujuan untuk menggunakan tanah tersebut bagi pembinaan HSA 2,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!