[VIDEO] Johor akui tawaran lumayan Singapura tarik doktor tempatan membimbangkan - Exco

A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengakui wujud kebimbangan berhubung dakwaan hospital di Singapura yang menawarkan gaji permulaan sebanyak SGD110,000 setahun (kira-kira RM385,000) bagi menarik doktor-doktor dari Malaysia untuk berkhidmat di republik itu.

Sambutan Hari Jururawat peringkat negeri Johor di Danga Bay dihadiri lebih 1,000 petugas pada Khamis.
Sambutan Hari Jururawat peringkat negeri Johor di Danga Bay dihadiri lebih 1,000 petugas pada Khamis.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, perkara itu bukan sesuatu yang baharu malah telah berlaku sejak beberapa tahun lalu.

TIAN SOON
TIAN SOON

"Situasi sebegini bukan sahaja berlaku sekarang. Kami dimaklumkan sepanjang tahun dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada hospital dari Singapura memberikan tawaran sangat menarik kepada petugas kesihatan dari Johor.

"Difahamkan, sebahagian daripada mereka telah mengambil tawaran tersebut,” katanya selepas Sambutan Hari Jururawat peringkat negeri di Danga Bay pada Khamis.

Sambutan dihadiri lebih 1,000 jururawat dari seluruh negeri itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Tian Soon berkata, kerajaan negeri akan terus berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk meningkatkan jumlah pengambilan pelatih kesihatan serta menawarkan peluang lebih baik agar mereka memilih untuk kekal berkhidmat dalam sektor awam.

“Kami mahu mereka menghargai untuk terus berkhidmat dalam sistem kesihatan kerajaan, ada hati dan jiwa untuk menjaga tanah tumpah darah supaya sama-sama dapat menawarkan perkhidmatan kepada rakyat.

"Saya juga yakin kepada mereka yang berkhidmat di sini akan terus komited dengan tanggungjawab mereka," katanya.

Sebelum itu, pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura kini sedang menjalankan sesi temu duga secara langsung dengan doktor dan pengamal perubatan am (GP) dari Malaysia di Hotel Traders KLCC, Kuala Lumpur.

Menerusi satu perkongsian di platform Threads oleh pengguna @dr_amandaelli, sesi pengambilan tersebut disertakan dengan tawaran pakej yang sangat menarik termasuk gaji permulaan sebanyak SG$110,000 setahun (kira-kira RM385,000), tidak termasuk elaun penginapan bulanan, insurans dan pelbagai manfaat lain.

Dalam pada itu Tian Soon berkata, kerajaan Johor amat menghargai sumbangan dan pengorbanan para jururawat serta petugas kesihatan lain yang sentiasa berdepan cabaran besar termasuk jumlah pesakit yang tinggi dan tanggungan kerja yang berat.

"Sebagai tanda penghargaan, Menteri Besar Datuk turut mengumumkan peruntukan khas untuk jururawat di negeri ini bagi membolehkan lebih banyak program kebajikan, latihan serta aktiviti bersama jururawat dilaksanakan.

"Kerajaan negeri juga memperuntukkan hampir RM10 juta setiap tahun sejak dua tahun lalu bagi membantu menaik taraf fasiliti kesihatan di Johor.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan menyelesaikan isu kesihatan di Johor. Kami tidak hanya meminta, tetapi turut tampil membantu,” katanya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!