Lebih empat jam padam kebakaran kilang aiskrim

Sebanyak lapan jentera digerakkan bagi membantu memadamkan kebakaran di kilang aiskrim berkenaan. - Foto: ihsan Bomba Perak
Sebanyak lapan jentera digerakkan bagi membantu memadamkan kebakaran di kilang aiskrim berkenaan. - Foto: ihsan Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Seramai 37 pegawai dan anggota bomba mengambil masa lebih empat jam untuk memadamkan kebakaran melibatkan sebuah kilang aiskrim di Jalan Kilang 2, Kawasan Perindustrian Jelapang di sini pada Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan berhubung kebakaran kilang seluas 1,486 meter persegi itu diterima pada jam 12 tengah malam.

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran kilang aiskrim di Ipoh pada Rabu. Foto: Ihsan Bomba Perak
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran kilang aiskrim di Ipoh pada Rabu. Foto: Ihsan Bomba Perak

Menurut beliau, sebanyak lapan jentera dari beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berhampiran telah digerakkan bagi memadam kebakaran tersebut.

"Setibanya di lokasi, operasi pemadaman dipecahkan kepada tiga bahagian yang mana bahagian belakang kilang melibatkan pasukan dari BBP Ipoh dan Meru Raya manakala bahagian hadapan dikawal anggota BBP Pasir Puteh.

"Operasi ini turut dibantu 46 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Pekan Baru, Pasir Pinji, Menglembu dan Bercham yang melakukan pemadaman di bahagian tepi kawasan kilang," katanya di sini pada Khamis.

Seorang anggota PBS melakukan pancuran air bagi mengawal kebakaran.
Seorang anggota PBS melakukan pancuran air bagi mengawal kebakaran.

Artikel Berkaitan:

Sabarodzi berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) turut digerakkan selepas dimaklumkan terdapat dua tangki ammonia dalam kilang tersebut.

"Kerja-kerja pengesanan dilakukan dan terdapat kebocoran sisa gas ammonia daripada peralatan penyejukbekuan di kilang ini.

"Situasi terkini masih terkawal dan saluran injap utama dari tangki simpanan ammonia yang berjumlah 800 liter telah berjaya ditutup.

"Pemantauan berkala kadar pencemaran bahan berbahaya tersebut masih dilakukan," katanya.

Jelas beliau, kebakaran tersebut telah memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur kilang membabitkan stor penyimpanan aiskrim serta perkakasan pembuatan dan pembungkusan.

"Api berjaya dipadamkan dan pasukan kini melakukan kerja-kerja pemunggaran bagi memadamkan sisa bara kebakaran di bawah runtuhan.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!