Bomba minta henti spekulasi remaja hilang di Sungai Kuantan diserang buaya

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menolak spekulasi kes remaja lelaki yang hilang ketika memancing di Sungai Kuantan di sini berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam petang Selasa mempunyai kaitan dengan buaya.
Pengarahnya, Mohd Razam Taja Rahim berkata, setakat ini tiada bukti kukuh berkaitan reptilia terbabit dalam kes lemas itu.
Menurutnya, ketika kejadian, air surut dan mangsa dipercayai terjatuh disebabkan tergelincir ekoran keadaan tebing sungai yang licin.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat dan menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan keadaan panik kepada masyarakat.
“Perbuatan itu juga boleh menimbulkan rasa tidak selesa serta mengganggu emosi ahli keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.
Sementara itu, remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ketika memancing bersama rakan di sungai terbabit ditemui lemas pada Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, mayat Muhammad Isyraf Danish Razmi, 15, ditemui pada jam 12.40 tengah hari di kawasan Empangan Sungai Kobat, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai tergelincir.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses pengecaman dan bedah siasat.
Terdahulu, tular di media sosial memaklumkan kes remaja lelaki lemas dikatakan mempunyai kaitan dengan kehadiran buaya yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk kawasan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
