'Saya sangka dia main bola' - Bapa terkejut terima panggilan polis anak terjatuh sungai

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] "Selalunya dia akan ajak saya bila hendak keluar memancing namun petang semalam (Selasa) dia langsung tidak beritahu sebaliknya keluar menjalankan aktiviti itu bersama kawan-kawan."
Demikian kata, Razmi Yaacob, bapa kepada Muhammad Isyraf Danish Razmi, 15, yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuantan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, Indera Mahkota di sini pada Selasa.
Pengusaha bengkel kereta berusaha 56 tahun itu berkata, dia menerima panggilan tentang kejadian yang menimpa anaknya itu kira-kira jam 7.20 petang.
"Saya sangka dia keluar bermain bola seperti kebiasaan setiap petang jadi terkejut bila dapat panggilan daripada pihak polis beritahu dia jatuh sungai dan dikhuatiri lemas.
"Ketika itu saya berada di bandar Kuantan cadangnya ke klinik untuk memeriksa mata. Bila dapat panggilan mengejutkan itu, saya batalkan hasrat dan terus ke lokasi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.

Razmi berkata, kali terakhir dia menemui anaknya itu Ahad lalu.
"Kami tinggal berasingan selepas berpisah dengan ibunya namun sudah rutin setiap kali hari minggu saya akan bawa dia keluar berjalan-jalan.
"Waktu itu dia bersikap seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan," jelasnya.
Sementara itu katanya, dia sendiri tidak pasti bagaimana anaknya boleh terjatuh.
""Saya dapat tahu dia memancing bersama rakan di tebing sungai dan mungkin tergelincir sebelum terjatuh dan tenggelam," katanya sambil berharap anak lelakinya itu segera ditemui.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian menimpa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Mahkota 2 di sini itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.30 petang.
Menurutnya, mangsa yang sedang memancing bersama rakan dipercayai turun ke gigi air untuk menarik tali pancing tersekat sebelum terjatuh dan tenggelam.
"Pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 7.30 malam dan segera menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


