KPDN panggil empat lagi syarikat berkait SST

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan Notis Hadir mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP 2011) kepada empat buah syarikat selepas mereka mengumumkan pergerakan harga susulan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kesemua empat syarikat itu akan dipanggil minggu ini bagi mendapatkan penjelasan susulan tindakan tersebut.
Menurut beliau, pada 1 Julai lalu pihaknya telah memanggil dua syarikat iaitu sejuk beku dan bongkah ais untuk memberikan penjelasan.
"Daripada tindakan itu mereka telah bersetuju menangguhkan pergerakan harga sehingga ke satu tarikh.
"Kesemua syarikat terlibat ini hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh KPDN ke atas 281 premis melibat 1,292 Unit Penyimpanan Stok (SKU)," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Selasa.

Sebelum itu beliau hadir merasmikan Sesi Libat Urus Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 bersama Persatuan Peniaga Makanan Negeri Kelantan.
Ujar beliau, kesemua jumlah itu hasil Ops Kesan 4.0 yang dijalankan KPDN bermula 1 Julai hingga Isnin.
Beliau memberitahu, sepanjang tempoh itu 16 aduan berkaitan pergerakan harga telah diterima.
Menurut Armizan, KPDN telah menggariskan empat elemen iaitu senarai barang dan bentuk perkhidmatan, senarai perniagaan dan syarikat berdaftar, tarikh pendaftaran dan pergerakan harga serta caj, margin pergerakan dan pencatutan.
"Oleh itu, semua premis perniagaan dan syarikat dinasihatkan untuk mengambil kira semua elemen penilaian sebelum melakukan sebarang pergerakan harga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

