Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 buka tirai

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan membuka tirai dimulakan dengan Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil-Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) yang berlangsung pada Selasa.
Mesyuarat yang akan membincangkan perkembangan hak asasi manusia di ASEAN itu dipengerusikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil.
Selain Menteri-Menteri Luar ASEAN, mesyuarat tersebut akan disertai Menteri Luar Timor-Leste, Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan Wakil AICHR.
Mohamad juga akan menerajui Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan mempengerusikan mesyuarat tiga hala bersama Norway serta Sekretariat ASEAN pada sebelah petang.
Sesi tersebut akan memberi fokus kepada penilaian kemajuan dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Perjanjian SEANWFZ.
Turut dibincangkan, potensi penyertaan Timor-Leste dalam perjanjian berkenaan dan isu berlarutan bagi mendapatkan persetujuan Negara Senjata Nuklear (NWS) terhadap Protokol Perjanjian SEANWFZ.
Malaysia menjadi hos AMM dan mesyuarat berkaitan, acara tahunan utama dalam kalendar ASEAN di bawah tema Kepengerusian ASEAN 2025, 'Keterangkuman dan Kelestarian'.
Lebih 40 menteri luar dan wakil daripada organisasi antarabangsa dijadual menghadiri beberapa siri mesyuarat pimpinan ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai.
Ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN sepanjang sejarahnya sebagai anggota blok serantau itu selepas mempengerusikannya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
