Balik haji bawa 15 patung unta, anak dedah sikap sebenar ayah

SHAH ALAM - Seorang jemaah haji lelaki yang membawa pulang beberapa anak patung unta bukan sahaja datuk dan ayah yang penyayang tetapi turut terkenal dengan sifat pemurah dalam kalangan masyarakat setempat.
Anaknya, Muhammad Shyrull Affendy Yacob, 32, berkata, ayah yang juga seorang usahawan katering di Melaka sememangnya suka bersedekah dan tidak pernah berkira dengan sesiapapun apatah lagi anak serta cucu.
Menurut Muhammad Shyrull, sikap ayah yang sentiasa mengutamakan keluarga menyebabkan anak dan cucu sangat rapat dengannya.
"Sebab itu, cucu-cucu melompat kegembiraan apabila melihat kelibat ayah di lapangan terbang tempoh hari. Kami datang beramai-ramai untuk menyambut kepulangan ayah dari menunaikan haji.
"Pada mulanya suasana ketika itu agak sebak kerana sudah lama tidak bersua muka tetapi bertukar ceria apabila melihat ayah keluar dari balai ketibaan sambil membawa unta mainan, membuatkan semua orang termasuk cucu-cucu terus bersorak dan teruja.
"Ayah saya memang terkenal dengan sikap suka bersedekah kepada pelanggan dalam perniagaan, jadi tidak hairan kalau layanan terhadap cucu-cucu jauh lebih mesra dan bermakna," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, tular sebuah video menyentuh hati memaparkan seorang datuk yang membawa pulang sebanyak 15 patung anak unta dari Makkah sebagai cenderamata istimewa buat cucu-cucunya di Malaysia.
Berdasarkan rakaman berkenaan, kelihatan 15 patung anak unta pelbagai warna digantung pada tali dan disandang di bahunya.
Tambahnya lagi, reaksi cucu-cucu yang begitu gembira melihat datuk mereka membuatkan momen itu menjadi lebih istimewa, apatah lagi kanak-kanak itu turut menerima cenderamata seperti coklat, kurma dan tasbih.
"Cucu-cucu memang sangat rapat dengan ayah dan sebelum ketibaan pun mereka sudah tidak sabar menanti.
“Setiap cucu dapat buah tangan daripada ayah, tiada seorang pun ketinggalan dan mereka terus peluk datuk untuk melepaskan kerinduan.
"Selain itu,sejak kecil ayah telah menanamkan nilai-nilai murni seperti sikap pemurah, kesederhanaan dan pentingnya membantu sesama insan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

