Generasi baharu Felda perlu keutamaan pendidikan, latihan dan keusahawanan – Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Pembangunan generasi baharu Felda perlu diberi keutamaan melalui aspek pendidikan berkualiti, latihan kemahiran dan sokongan keusahawanan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia antara agenda yang menjadi tunjang kepada usaha negara pada tahun ini dalam membawa manfaat kemajuan kepada rakyat.
“Antara pencapaian membanggakan tahun ini adalah apabila pasukan MaresmaF Wind Orkestra (Mawo) dari Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab Felda Trolak meraih Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan Prague ke-26.
“Ia bukti bahawa generasi Felda mampu berdiri megah di pentas dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Ujar Ahmad Zahid, negara juga perlu mengangkat semula nilai dan martabat Felda ke tahap lebih tinggi termasuk memperkukuh kesejahteraan ekonomi peneroka melalui peningkatan pendapatan, peluang baharu serta pemerkasaan komuniti.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan matlamat nasional untuk memartabatkan jasa peneroka dan memastikan mereka terus menjadi tunjang pembangunan desa serta negara.
“Kita harus memperkukuh peranan Felda sebagai kuasa besar industri makanan dan komoditi dunia.
“Di bawah Felda, Malaysia telah muncul sebagai antara pemain utama industri sawit global melalui FGV Holdings Berhad (FGV), pengeluar Minyak Sawit Mentah (MSM) ketiga terbesar di dunia.
“Selain itu, FGV juga menguasai pasaran gula tempatan dan memperkenalkan produk di bawah jenama Saji yang bukan sahaja menembusi isi rumah Malaysia tetapi juga pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Kata Ahmad Zahid, penganjuran program Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) pada 30 Julai hingga 3 Ogos tahun ini dilihat berpotensi menjadi medan penyatuan komuniti dari segi inovasi, pelancongan, perniagaan dan warisan budaya.
“Untuk tahun ini, karnival Hari Peneroka tahunan yang ditunggu-tunggu oleh semua warga peneroka akan bergabung dengan Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dengan nama MK3D.
“Program dengan tema ‘Desaku Mendunia’ itu juga merupakan antara agenda penting dalam mempromosikan produk Felda dan memperkenalkan hasil kerja keras komuniti Felda kepada dunia.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua peneroka Felda atas pengorbanan, usaha dan semangat yang tidak pernah luntur sejak penubuhan organisasi tersebut,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

