Ladang pertanian menegak terbesar di Malaysia dibuka di Johor

JOHOR BAHRU – Ladang pertanian menegak dalam bangunan terbesar di Malaysia kini dibuka di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata rundingan bagi pembukaan ladang berkenaan telah bermula sejak 2023 dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak RM40 juta.
Jelas beliau, ladang pertanian menegak berteknologi tinggi itu meliputi keluasan 52,000 kaki persegi (0.48 hektar) di dalam premis bangunan di kawasan industri berkenaan.
“Ladang ini dijangka menghasilkan sebanyak 306,000 kilogram hasil segar setiap tahun, sekali gus menjadi aset strategik yang menyokong Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara Malaysia serta sasaran ‘30 per 30’ Singapura yang bertujuan meningkatkan kadar pengeluaran makanan domestik sebanyak 30 peratus menjelang 2030.
“Pembukaan ladang ini adalah satu sejarah buat Johor, Malaysia dan Singapura apabila projek usaha sama ini berjaya membangunkan ladang pertanian menegak dalam bangunan terbesar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa melancarkan ladang berkenaan pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah FarmByte Archisen, Vincent Wei.
Menurut Onn Hafiz, penggunaan teknologi CEA (Controlled Environment Agriculture) membolehkan ladang tersebut dipantau secara masa nyata dari segi pengeluaran tanaman, penghantaran nutrien serta kawalan mikroiklim menerusi rangkaian sensor.
“Sistem pengairan yang diautomasi membolehkan penyampaian nutrien yang tepat kepada tanaman, sekali gus meningkatkan kecekapan keseluruhan proses penanaman.
“Amalan pertanian di ladang ini turut disokong oleh penggunaan teknologi machine learning bagi membangunkan ‘resipi tanaman’ untuk memperoleh nutrien dan hasil tuaian maksimum.
“Sistem tertutup pula membolehkan air dan nutrien dikitar semula secara berterusan bagi mengurangkan pembaziran input.
“Data yang dikumpul dari ladang, termasuk data suhu dan kelembapan relatif, juga akan terus digunakan untuk memperkemas sistem dan membuat pelarasan secara automatik,” ujarnya.
Tambah beliau, dengan reka bentuk infrastruktur yang modular dan berskala, ladang ini turut membolehkan pembinaan ladang pertanian menegak yang sama di kawasan bandar dan pinggir bandar, sekali gus menyokong pengeluaran makanan secara terdesentralisasi dan membawa sumber makanan lebih dekat kepada pengguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

