Mangsa diserang kucing tulap, bukan harimau kumbang - Perhilitan

KUALA PILAH - Dakwaan seorang lelaki diserang harimau kumbang di Kampung Pauh, Terachi Tanjung Ipoh di sini pada Sabtu malam adalah tidak benar, sebaliknya mangsa dipercayai diserang seekor kucing tulap.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berdasarkan siasatan awal yang dijalankan pihaknya sejurus menerima maklumat tersebut.
Menurutnya, kejadian berlaku pada awal pagi Sabtu di kawasan kandang kambing milik mangsa yang terletak di belakang rumahnya.
“Perhilitan menerima maklumat mengenai serangan hidupan liar sekitar jam 11 pagi, Ahad.
"Pada awalnya, serangan itu dikaitkan dengan harimau kumbang, namun hasil siasatan mendapati hidupan liar yang menyerang mangsa disyaki spesies kucing tulap,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, mangsa berusia 56 tahun yang cedera di bahagian kepala, kaki, dan tangan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.
Ujarnya, lokasi kejadian terletak berhampiran Hutan Simpan Berembun yang merupakan kawasan habitat hidupan liar.
“Pemantauan lanjut termasuk pemasangan kamera perangkap akan dilakukan oleh Unit Kawalan Hidupan Liar (UKHM) Perhilitan Negeri Sembilan bagi mengenal pasti kehadiran haiwan berkenaan di sekitar kawasan kampung,” katanya.
Pada masa sama, katanya, borang permohonan Kumpulan Wang Amanah Mangsa Serangan Binatang Buas (KWASBB) telah diserahkan kepada mangsa bagi membantu meringankan beban kos rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


