MARA komited lonjak sektor veterinar bumiputera melalui DrVET

KOTA TINGGI - Majlis Amanah Rakyat (MARA) lapan cawangan DrVET di seluruh negara menjelang akhir tahun nanti.
Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, sasaran itu dibuat sebagai usaha strategik untuk memperkukuhkan penglibatan usahawan bumiputera dalam sektor veterinar.
Katanya, inisiatif berkenaan bakal dilaksanakan melalui Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC), yang memberikan peluang kepada doktor veterinar bumiputera memiliki dan menguruskan klinik haiwan sendiri.
“Istimewanya program ini kerana peserta dipilih dan dilatih sejak hari pertama dan mereka akan menggunakan jenama perniagaan MARA.
“Selain itu, mereka juga diberikan pembiayaan modal sejak awal dan ia secara tidak langsung memberikan kelebihan besar berbanding usahawan luar,” katanya.
Zulfikri berkata demikian setelah menyempurnakan Perasmian DrVET Pengerang di sini, pada Jumaat.

Untuk rekod, sehingga ke hari ini, terdapat tiga cawangan DrVET telah beroperasi di Kuala Terengganu (Terengganu) dan Batu Pahat serta Pengerang (Johor).
Empat lagi cawangan melibatkan Kajang dan Sabak Bernam (Selangor), Klebang (Melaka) dan Arau (Perlis) akan memulakan operasi tidak lama lagi.
Malah, seorang lagi peserta juga kini difahamkan berada di peringkat akhir bagi memulakan perniagaan.
Sementara itu, Zulfikri berkata, MARA menetapkan sasaran 20 lagi peserta baharu bagi mengikuti Program ProSPEC DrVET tahun hadapan.
Katanya, usaha berkenaan dilakukan agar lebih ramai usahawan profesional bumiputera dalam bidang veterinar dapat dilahirkan kelak.
Impian miliki perniagaan sendiri tercapai
“Alhamdulillah, impian saya untuk memiliki perniagaan sendiri tercapai.”
Itu reaksi Dr Nur Hafizatul Aiezzah Daud, 34, seorang doktor veterinar dan pemilik klinik DrVET yang beroperasi di kawasan Pengerang, di sini.

Menurut Nur Hafizatul Aiezzah, impian memiliki perniagaan sendiri bermula apabila rakan-rakannya berkongsi mengenai Program ProSpec DrVET anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang bermula sejak Julai 2024.
Katanya, setelah menghadiri seminar yang dianjurkan, beliau dipanggil untuk sesi temu duga sebelum mengikuti beberapa siri latihan yang menjadi sebahagian daripada proses persediaan menubuhkan perniagaan yang bakal diusahakannya kelak.
“Semuanya bermula daripada perkongsian rakan-rakan mengenai program-program di media sosial seperti Facebook dan Instagram. Saya tertarik dan terus menghadiri seminar yang dianjurkan.
“Saya juga didedahkan kepada langkah-langkah menubuhkan dan menguruskan perniagaan klinik veterinar.
“Selain itu, pihak MARA turut menawarkan bantuan pembiayaan antara RM300,000 hingga RM400,000 bagi tujuan penubuhan klinik,” katanya kepada Sinar Harian.
Untuk rekod, Nur Hafizatul Aiezzah merupakan usahawan bagi program khas keusahawanan iaitu Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC).
Secara keseluruhannya, program berkenaan memberikan fokus dalam memperkasakan sektor veterinar dengan membuka lapan outlet DrVET seluruh negara ketika ini dan ia bermula di Johor.

Sementara itu, Nur Hafizatul Aiezzah berkata, setiap usahawan perlu mematuhi spesifikasi yang ditetapkan MARA termasuk penggunaan logo rasmi, susun atur premis dan hiasan dalaman yang telah digariskan.
“Program seperti ini jelas membuktikan usaha MARA dalam membantu usahawan bumiputera, khususnya dalam sektor veterinar bagi mengembangkan perniagaan dan membina jenama sendiri secara sistematik dan profesional.
“Selain itu, ia juga mencerminkan sokongan MARA dalam memperhebatkan dan melahirkan lebih ramai golongan doktor veterinar dalam kalangan bumiputera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

