Mohd Shuhaily dilantik Ketua Pengarah AKPS

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (PJSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ditukarkan ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selama dua tahun berkuat kuasa Isnin.

Beliau yang memegang jawatan Pengarah JSJ sejak Ogos 2023 dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS sehingga 30 Jun 2027.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar S Muthuvelu, dilaporkan bakal mengambil alih jawatan Mohd Shuhaily sebagai Pengarah JSJ.

Arahan pertukaran ini dikesan tular di laman media sosial sejak malam tadi.

Mohd Shuhaily ketika dihubungi pada Sabtu mengesahkan perkara itu selepas menerima arahan pertukaran namun enggan mengulas lanjut dan meminta pihak media menantikan Majlis Serah Terima Tugas yang dijadualkan bakal berlangsung Isnin.

Menerusi arahan pertukaran itu dua lagi nama turut diumumkan iaitu Superintenden Urus Setia KPN (Dasar Strategik) Cawangan Khas Bukit Aman bertukar ke jawatan Superintenden Komunikasi Korporat Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.

Superintenden Komunikasi Korporat Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman, Superintenden Abd Rashid Abu Bakar, pula bertukar ke jawatan Superintenden Komunikasi Korporat (2), Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.

Arahan berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan jawatan Ketua Polis Johor yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan M Kumar.

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!