Antara tekanan, pemulihan dan harapan baharu Zii Jia

PERKONGSIAN beberapa lakaran misteri oleh jaguh badminton negara, Lee Zii Jia di media sosial mencetuskan pelbagai reaksi daripada peminat.
Hantaran menimbulkan persoalan mengenai keadaan kesihatan mental pemain itu yang secara tidak langsung mengundang pelbagai spekulasi mengenai maksud sebenar di sebalik lukisan berkenaan.
Walaupun lukisan yang dikongsikan tidak memaparkan mesej jelas, namun ekspresi kosong dan elemen simbolik yang sukar ditafsir memberi gambaran bahawa Zii Jia mungkin sedang bergelut dengan 'sesuatu' dalam dirinya.
Meskipun tiada penjelasan rasmi diberikan, ramai berpendapat hantaran berkenaan mencerminkan keadaan emosi dan tekanan yang sedang dialami oleh pemain kelahiran Alor Setar itu susulan penurunan prestasi serta kecederaan dialaminya.
Selepas mengalami kecederaan buku lali kanan pada Disember lalu, Zii Jia hanya menyertai dua kejohanan setakat pertengahan tahun ini dan akibatnya, ranking beliau jatuh ke tangga ke-27 dunia.
Kedudukan itu jauh berbeza berbanding ketika beliau berada dalam kelompok elit dunia.
Di sebalik semua fakta berkenaan, lukisan yang dimuat naik atlet kebanggaan negara itu perlu diberi perhatian.
Atlet elit dikatakan sering menyimpan tekanan perasaan dalam diam, terutama apabila prestasi tidak menepati harapan ramai.
Seperti yang dikongsikan oleh pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustaffa baru-baru ini, tekanan merupakan sebahagian daripada proses pematangan atlet sebelum mereka bergelar juara.
Namun, beliau menegaskan bahawa tekanan adalah sesuatu yang lumrah dan bergantung kepada mentaliti atlet dalam menanganinya.
Apa sahaja maksud di sebalik perkongsian itu, harapan peminat badminton negara sentiasa mahukan Zii Jia kembali sebagai jaguh yang pernah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Tiada atlet yang mahu kalah, namun itulah kenyataan yang terpaksa dihadapi.
Menyokong atlet ketika mereka tidak berada di tahap terbaik mencerminkan semangat kesukanan yang sejati.
Sokongan bukan hanya berdasarkan kemenangan, tetapi atas usaha dan semangat juang yang sentiasa lakukan terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
