Muhammad Ammar Mukhlis diumum jadi ikon Hafiz Ulul-Albab Mara

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) berhasrat untuk menjadikan selebriti TV AlHijrah, Muhammad Ammar Mukhlis Abdul Mohsin, 27, sebagai ikon Hafiz Ulul-Albab kepada lebih 139,000 pelajar yang berada di bawah institusi pendidikan agensi itu di seluruh negara.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat susulan kunjungan Ammar ke pejabat beliau petang tadi.
Menurut Asyraf, beliau secara peribadi mengikuti perkembangan Ammar sejak menyaksikan kejayaannya memenangi tempat pertama program realiti keagamaan ‘Adik-adikku’ beberapa tahun lalu.
“Malah, anak sulung saya, Ammar yang ketika itu baru di tahun tiga sekolah rendah turut mengidolakan beliau,” katanya.
Tambah Asyraf, Ammar kini merupakan seorang Hafiz al-Quran yang menamatkan pengajian di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Qiraat dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
“Dengan latar belakang dan pencapaian cemerlangnya dalam bidang ilmu dan al-Quran, saya mahu jadikan beliau sebagai ikon Hafiz Ulul-Albab kepada seluruh pelajar di bawah institusi pendidikan Mara,” katanya lagi.
Mara kini menguruskan sebanyak 344 institusi pendidikan, termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), GiatMara, Kolej Mara, Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Profesional Mara (KPM), German-Malaysian Institute (GMI), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJII), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Mara (UPTM).
Asyraf berkata, pemilihan ikon seperti Ammar bukan sahaja mampu menjadi inspirasi kepada para pelajar dalam bidang akademik, malah turut mengangkat nilai keagamaan dan sahsiah tinggi dalam kalangan generasi muda Mara.
“Insya-ALLAH, kita mahu lahirkan ramai lagi generasi Ulul-Albab yang seimbang antara ilmu duniawi dan ukhrawi,” katanya.
Muhammad Ammar merupakan pengacara “Gema Haflah” di TV AlHijrah pernah menjadi Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan 2021 dan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

