Kerosakan teknikal punca Aerotrain KLIA tergendala - Anthony Loke

SHAH ALAM – Gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang yang berlaku pagi Jumaat adalah berpunca daripada kerosakan teknikal pada salah satu pam saliran dalam terowong sedia ada, bukan disebabkan kelemahan sistem baharu Aerotrain seperti didakwa sesetengah pihak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan pam tersebut merupakan sebahagian daripada infrastruktur lama lapangan terbang dan tidak termasuk dalam program penggantian sistem Aerotrain baharu.
“Apabila pam gagal berfungsi seperti yang sepatutnya, air hujan telah bertakung dalam terowong sehingga melepasi paras ambang keselamatan.
"Sistem keselamatan Aerotrain kemudian diaktifkan secara automatik sebagai langkah berjaga-jaga sementara operasi perkhidmatan itu digantung sementara waktu.
“Inilah cara sistem rel moden sepatutnya bertindak iaitu dengan mengutamakan keselamatan penumpang berbanding segala-galanya.
"Perkhidmatan telah disambung semula selepas semua pemeriksaan keselamatan selesai pada sekitar jam 12.15 tengah hari tadi (Jumaat),” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut menjelaskan insiden berasingan yang berlaku pada 2 Julai lalu melibatkan seorang penumpang yang menghalang pintu platform daripada ditutup sehingga menyebabkan operasi Aerotrain tergendala.
Katanya, sistem keselamatan tren telah bertindak sewajarnya dengan menghentikan pintu daripada tertutup secara paksa bagi mengelakkan sebarang kecederaan kepada individu berkenaan.
“Kedua-dua insiden ini walaupun menjejaskan kelancaran perjalanan pengguna, ini sebenarnya membuktikan keberkesanan sistem keselamatan Aerotrain baharu yang direka untuk menghentikan operasi sekiranya terdapat sebarang potensi bahaya,” ujarnya.
Beliau memberi jaminan bahawa aset Aerotrain baharu dibina mengikut piawaian antarabangsa dan beroperasi dengan baik.
Tambah Anthony Loke, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Malaysia Airport juga akan terus komited menambah baik mutu perkhidmatan serta menyelesaikan sebarang isu dengan pantas demi menjamin pengalaman perjalanan yang selamat dan lancar untuk semua penumpang.
Loke turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kesabaran dan kefahaman sepanjang tempoh pelaksanaan awal sistem Aerotrain baharu itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

