Penghargaan buat wira jalanan

SHAH ALAM - Kita selalu tanya, ‘mana makanan saya?’...tapi jarang kita tanya, ‘abang/ kakak rider dah makan ke belum?’ Sebab itu McDonald’s Malaysia ambil inisiatif beri makanan percuma kepada 70,000 rider sebagai tanda kami menghargai mereka,”.
Demikian menurut Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak, McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai yang berkongsi mengenai kempen #MekdiBelanjaRider yang berlangsung di seluruh negara pada Selasa.
Beliau berkata, kempen #MekdiBelanjaRider turut diperluaskan kepada rider seperti GrabFood, ShopeeFood dan foodpanda serta mana-mana syarikat penghantaran lain.
Menurutnya, kempen tersebut kini masuk tahun keempat penganjuran sebagai sebahagian daripada inisiatif kemasyarakatan McDonald’s Malaysia.
Usaha tersebut juga bagi menghargai pengorbanan dan dedikasi komuniti berkenaan dalam menjalankan amanah khususnya sebagai barisan hadapan sejak pandemik Covid-19.
“Tanpa mereka, tak akan sampailah makanan McDonald’s Malaysia ke rumah, sekolah, pejabat-pejabat atau ke mana sahaja.
“Kita sediakan menu yang istimewa untuk mereka. Mereka sibuk menghantar makanan tapi kadang-kala tak berkesempatan untuk merasa makanan, sama ada yang baharu atau menu yang sedia ada di McDonald’s,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sini, pada Selasa.
Menerusi kempen #MekdiBelanjaRider McDonald’s Malaysia berbesar hati menyumbangkan set hidangan percuma sama ada McDonald’s Foldover atau burger Spicy McCrispy kepada para rider, yang diedarkan dari jam 2 petang sehingga 5 petang di restoran-restoran McDonald’s seluruh negara.

Melati menambah, sebagai syarikat tempatan yang berteraskan komuniti, McDonald’s Malaysia amat menghargai para rider yang setiap hari berusaha menghantar hidangan kepada pelanggan, tidak kira panas atau hujan, demi untuk menjana pendapatan yang berkat.
“Mereka adalah antara nadi penting dalam ekosistem penghantaran yang menyokong operasi kami serta membantu meningkatkan hasil penjualan makanan setiap hari.
“Kempen ini adalah tanda kecil penghargaan kami atas sumbangan besar mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu menurut beliau, McDonald’s Malaysia akan meneruskan misi melaksanakan pelbagai program komuniti secara berterusan.
Dilancarkan pada tahun 2021, #MekdiBelanjaRider merupakan salah satu program berterusan dalam rangkaian aktiviti kemasyarakatan McDonald’s Malaysia, bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan serta menzahirkan keprihatinan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Bermula dengan penghargaan kepada para guru pada bulan Mei lalu, kempen itu diteruskan pada bulan Jun dengan tumpuan kepada komuniti rider yang membantu memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hidangan McDonald’s kegemaran mereka pada bila-bila masa dan di mana jua. Inisiatif ini juga melengkapi Program Komuniti @ McDonald’s, yang berlandaskan semangat menyumbang kepada kebajikan masyarakat.
Setiap tahun, McDonald’s Malaysia melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan melalui lebih 370 restorannya di seluruh negara. Antara program yang telah dijalankan termasuk menyantuni komuniti masjid dan surau semasa bulan Ramadan, meraikan guru-guru sempena Hari Guru, serta menyambut ulang tahun anak-anak yatim di rumah kebajikan.
REAKSI

“Saya sebagai wakil foodpanda dengan rakan-rakan semua amat berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia. Pemberian makanan percuma ini dapat memberi sokongan tambahan kepada kami. Selama ini, kami keluar masuk McDonald’s, ambil kemudian hantar makanan. Jadi, sekurang-kurangnya kami rasa dihargai. Organisasi lain boleh ambil contoh buat program seperti ini.” - Rider foodpanda, Khairul Jefri Abu Hurarirah, 45

“Saya harap program seperti ini akan ada lagi pada masa akan datang sebab sangat bagus sebagai tanda menghargai kami para rider dan beri kami semangat untuk bekerja. Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada McDonald’s sebab menghargai kami dengan program begini.” - Rider ShopeeFood, Mohd Faizal Mohd Saleh, 42

“Ini kali pertama saya dapat nikmati makanan percuma dari McDonald’s. Alhamdulillah 70,000 rider dapat.” - Rider ShopeeFood, Muhammad Fathurrahman Mohd Yazli, 25

“Saya rasa amat bersyukur sebab dapat makanan percuma, dapat jimat RM20 kos untuk makan tengah hari. Alhamdulillah, sejak empat tahun dulu saya merasa. Sekarang tak terhad kepada rider McDonald’s saja, tapi juga untuk rider lain.” - Rider McDonald’s Kiptiani Mohamad, 36
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
