Perselisihan faham punca lima kenderaan dibakar

Tangkap layar rakaman video kejadian khianat dengan api di sebuah rumah di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Akmalrizal Radzi
Tangkap layar rakaman video kejadian khianat dengan api di sebuah rumah di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Akmalrizal Radzi
A
A
A

KUALA LANGAT – Perselisihan faham dipercayai menjadi punca kejadian kebakaran membabitkan lima kenderaan di hadapan sebuah rumah di Bandar Tropicana Aman, Bandar Saujana Putra di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan awal mendapati perselisihan faham tersebut hanya melibatkan pihak-pihak tertentu dalam kalangan suspek tanpa melibatkan orang awam.

“Setakat ini, kita belum melakukan sebarang tangkapan, bagaimanapun tujuh individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Selain itu, pihak bomba turut menemui sampel bahan bakar di lokasi kejadian dan mendapati petrol digunakan bagi memulakan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, siasatan mendapati perselisihan itu tidak mendatangkan ancaman kepada komuniti setempat dan hanya berkisar dalam lingkungan pihak-pihak yang terlibat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa empat lelaki sedang diburu kerana dipercayai terlibat dalam kes bakar kenderaan di Bandar Saujana Putra di sini pada Selasa.

Siasatan awal mendapati pemilik kenderaan merupakan seorang lelaki tempatan, dan ketika kejadian berlaku, mangsa serta keluarganya tidak berada di rumah.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM1.6 juta akibat kerosakan pada bahagian hadapan rumah dan lima kenderaan mewah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!