Penganggur didakwa bunuh rakan serumah kerana bilik bersepah

SHAH ALAM - Seorang penganggur yang berhijrah dari kampung ke Sungai Buloh untuk mencari pekerjaan, didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan membunuh rakan serumahnya, dipercayai gara-gara bilik bersepah, minggu lalu.
Faisal Abdul Aziz, 41, yang memakai baju T berwarna putih, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohamed Redza Azhar Reza.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Muhammad Fakhrullah Pauzihal Ali, 33, di sebuah rumah di Kampung Batu Gajah Sungai Pelong, Sungai Buloh pada jam 11.26 malam, 25 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan sekiranya tidak dihukum gantung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliaanisa Khairus Masnan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan laporan kimia dan patologi.
Pada 27 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan, pertengkaran kerana bilik bersepah dipercayai punca pergaduhan dua sekawan hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut ditikam dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong di sini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kedua-dua lelaki itu tiba bersama dari Kelantan, sebelum kejadian terbabit berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

