'Saya nafi terima suapan, terlibat dalam transaksi RM530,000' - Ellron

Datuk Ellron Angin
Datuk Ellron Angin
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang lagi Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tampil menafikan dakwaan terlibat dalam skandal rasuah perlombongan di negeri ini yang dilaporkan sebuah portal baru-baru ini.

Datuk Ellron Angin yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata, beliau merujuk laporan sebuah portal berita pada 28 Jun lalu yang bertajuk 'Lagi Kejutan Sabah: Skandal Pelombongan Selubungi STAR, Pemimpin Tertinggi PBS'.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya menerima suapan atau terlibat dalam transaksi bernilai RM530,000.

"Tuduhan ini adalah fitnah yang tidak berasas dan bermotifkan politik tidak matang serta mencemarkan nama baik dan integriti saya sebagai wakil rakyat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ellron turut menegaskan bahawa beliau sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus bersih.

"Ia sejajar dengan komitmen kerajaan negeri Sabah dalam membanteras rasuah.

"Oleh itu, saya telah mengarahkan pasukan undang-undang untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan palsu ini.

"Saya tidak akan berdiam diri, kebenaran mesti ditegakkan," katanya.

Ellron antara beberapa pemimpin parti dari STAR dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang tampil menafikan penglibatan mereka dalam skandal tersebut selepas didedahkan oleh portal berita berkenaan.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!